Informasi Terkini

Sukan 8 Kawasan Bakal Rebut Kejuaraan Pesta Sukan Pasti Negeri Perak 2019 Oleh Pasti Negeri Perak / Apr 07, 2019

Semalam pada 6 April 2019, Pesta Sukan PASTI Perak secara serentak bagi 3 Zon telah melabuhkan tirai persaingan. Johan dan Naib Johan setiap acara bagi setiap zon bakal berentap di peringkat negeri yang dijadualkan sabtu ini di Kuala Kangsar untuk menobatkan juara bagi acara yang dipertandingan iaitu Bola Sepak Mini dan Bola Jaring. Perasmian dijangka akan dirasmikan oleh YB Ustaz Akmal bin Kamaruddin (Ketua Dewan Pemuda PAS Perak). Ikuti rangkuman ringkas ketiga-tiga zon tersebut.

Zon 1 yang diadakan di Padang Kolej Multimedia Taiping dengan dirasmikan oleh Pengarah PASTI Perak sendiri iaitu Mohd Azahari bin Yahaya menyaksikan tuan rumah iaitu Taiping telah mengondol gelaran juara bagi kedua-dua acara. Turut mengiringi Taiping ke edisi negeri ialah Bukit Gantang selaku Naib Johan Bola Sepak Mini dan Parit Buntar yang menyandang Naib Johan Bola Jaring. Sementara itu Lenggong sekadar berpuas hati ditempat ketiga bagi kedua-dua acara setelah menewaskan Gerik dalam Bola Sepak Mini dan Bagan Serai bagi Bola Jaring.

Dalam pada itu, Zon 2 yang diadakan di Extreme Park Tambun telah dirasmikan oleh Ustaz Hafez Sabri (Timbalan Ketua Dewan Pemuda PAS Perak) menyaksikan Tambun dan Kuala Kangsar mengesahkan kelayakan ke negeri apabila masing-masing berjaya meraih kedudukan Johan dan Naib Johan bagi kedua-dua acara. Kuala Kangsar nyata jaguh dalam Bola Sepak Mini selepas menewaskan Tambun sebagai Naib Johan. Manakala Tambun pula telah menundukkan Kuala Kangsar dalam merebut kedudukan Johan dan Naib Johan Bola Jaring. Tanjung Malim nyata senasib dengan Lenggong apabila sekadar berpuas hati dengan tempat ketiga bagi kedua-dua acara.  Mengekori di belakang bagi kedudukan keempat ialah  Gopeng bagi acara Bola Sepak Mini manakala Kampar bagi acara Bola Jaring.

Bertempat di Padang Desa Seri Iskandar pula, Lumut yang berentap di zon 3 mengulangi skrip sama Taiping apabila turut mengungguli kedua-dua acara sekaligus layak ke negeri selepas mengatasi Naib Johan Bola Sepak Mini iaitu  Batu Gajah dan Naib Johan Bola Jaring iaitu Teluk Intan. Pasir Salak pula terpaksa berpuas hati membawa pulang tempat ketiga Bola Sepak Mini dan keempat Bola Jaring. Sementara Parit turut menempatkan nama selaku tempat ketiga Bola Jaring. Perasmian zon 3 ini telah disempurnakan oleh Ustaz M. Zahid b. Abu Bakar (Naib Ketua Dewan Pemuda PAS Perak).

KEMASKINI TERUS KEPADA ANDA!

Jadi yang pertama mendapatkan kemaskini dari kami melalui emel!