Informasi Terkini

Artikel Abang Duan : Kepulangan Insan Berjasa Ke Negeri Abadi Oleh Pasti Negeri Perak / Dec 23, 2021

"Assalamualaikum ustaz... ana nak minta sambung cuti... ana masih kat hospital ni.." itulah pintanya dalam perbualan talian terakhir kami... Sedangkan memang saya maklum keadaan Abg Duan yang baru berpindah dari Hospital Pantai ke Hospital Raja Permaisuri Bainun. Bahkan semasa menziarahi Abg Duan di Hospital Pantai, turut saya pinta kepada Abang Duan supaya tumpukan sepenuhnya kepada proses rawatan dan tidak perlu dibebankan fikiran dengan urusan PASTI.
Ternyata, walau di mana Abang Duan berada namun kotak fikirannya tidak pernah kosong dari memikirkan urusan PASTI. Bahkan diceritakan oleh isteri Abang Duan, semasa Abang Duan di hospital beliau berusaha mencari rangkaian internet disebabkan mahu menyertai mesyuarat yang diadakan secara atas talian.
-------------------------------------------------------------------------
18 Disember 2021 | Ahad
Malam itu sekitar waktu isyak, saya menerima panggilan daripada Kak Dah (Ustazah Faridah Dawam), muslimat besi PASTI Perak yang merupakan Pengerusi Majlis Guru PASTI Perak (MGP) memaklumkan khabar duka pemergian Abang Duan. Sebaik sahaja berakhir perbualan, saya berusaha menghubungi beberapa orang teman seperjuangan bagi memastikan kesahihan berita. Akhirnya, berita duka ini terpaksa saya telan maungnya.
Memandangkan esok ada urusan yang tidak dapat dielakkan. Saya gagahkan diri bersama keluarga meredah gelap malam bersama hujan renyai sepanjang jalan dari Gerik untuk menziarahi Abang Duan. Biasanya memandu malam dengan jarak itu, 2-3 tempat akan menjadi lokasi persinggahan. Namun, malam itu bertemankan duka dan kekusutan fikiran, pemanduan yang sesekali tersadung dalam kesesakan dek kemalangan beberapa kenderaan akhirnya sampai di kediaman Abang Duan sekitar jam 2.00 pagi tanpa berhenti di mana-mana.
-------------------------------------------------------------------------
Pengalaman peribadi bersama Abang Duan mungkin tidak selama tempoh Abang Duan mewakafkan dirinya untuk jemaah ini dan PASTI. Namun, waktu terluang sering beliau kongsikannya buat panduan. Walau kadang kisah itu diulang cerita, namun tak jemu mendengar nostalgia sunnah pejuang. Pada tahun 2008, ketika perbelanjaan PASTI dalam keadaan defisit Abang Duan tekad berkhidmat sebagai Setiausaha Kerja PASTI Perak secara separuh masa bagi membantu PASTI Perak disamping komitmen kerjayanya di sebuah kilang. Sehinggalah kilang tempat Abang Duan ditutup pada tahun 2011, Abang Duan meletakkan komitmennya sepenuh masa bersama PASTI Perak.
Kemahiran dan komitmen tingginya begitu ditagih PASTI sehingga ditaklifkan sebagai Pengarah Bahagian Penaziran PASTI Malaysia kepada 3 orang mantan Ketua Pengarah PASTI Malaysia.
Sekalipun berdiri dengan bantuan tongkat, ke mana sekalipun komitmen PASTI Abang Duan akan sampai walau ditegah teman seperjuangan. Bahkan, sepanjang bersama Abang Duan tidak pernah sesekali dia merungut dengan keuzuran kesihatannya. Tugasannya dilaksanakan dengan sepenuh hati. Sungguh teladan yang ditunjukkan terlalu besar buat pewaris jalan ini.
Bagi saya, pemergian Abang Duan ini InsyaAllah adalah suatu kepulangan yang dibanggakan Sang Pencipta dengan bekal jasa besarnya buat institusi pendidikan pra-sekolah Islam yang terbesar rangkaiannya. InsyaAllah, semoga kami mampu mengikut jejak Abang Duan meraih mardhatillah. Sungguhpun kini jasad Abang Duan tiada lagi, memori bersama akan tetap terpahat dalam hati warga PASTI Perak.
LUQMAN KHAIRI
Pengarah PASTI Perak

KEMASKINI TERUS KEPADA ANDA!

Jadi yang pertama mendapatkan kemaskini dari kami melalui emel!