Bakti Disanjung, Jasa Dihargai Oleh Pasti Negeri Perak / May 30, 2023
"Guru tidak hanya mendidik anak-anak murid, bahkan guru juga sebenarnya telah berperanan dalam membangunkan generasi masyarakat yang rabbani."
Majlis Sambutan Hari Guru PASTI Perak 2023 kali ini telah mengangkat tema "Guru Mithali Pemangkin Generasi Rabbani" mencerminkan betapa peranan guru tidak hanya sekadar melahirkan generasi yang cerdik pandai semata, bahkan turut membina anak bangsa yang punyai pengabdian diri kepada Allah SWT.
Majlis yang diadakan pada 20 Mei 2023 di D'Village @ Karai telah disempurnakan perasmiannya oleh Tuan Damanhuri Dol (Ketua Pengarah PASTI Malaysia).Sementara itu, Ust Syukri Alimar Syihidi (Ketua Sektor Pendidikan DPPN Perak) juga hadir bersama menyampaikan amanat kepada para guru PASTI Perak.
Majlis kali ini juga turut disampaikan watikah pelantikan Ahli Lembaga Pengarah Jabatan PASTI Negeri Perak sesi 2023/2025 serta Pelancaran Dana Pembelian Van PASTI Perak dan diserikan dengan pelbagai pertandingan seperti Pertandingan Inovasi Alat Bantuan Mengajar, Masakan Rendang dan seumpamanya.
Dalam pada itu, Muallimah Srihani Ariffin dari Bagan Datuk telah diangkat sebagai penerima Anugerah Tokoh Guru PASTI Negeri Perak. Bagi Anugerah Guru Mujahidah pula telah diberikan kepada Nurul Hidayah Ahmad Hamdan dari Kuala Kangsar. Muallimah Ruzita Md Jaafar dari Lumut pula telah diangkat sebagai penerima Anugerah Guru Inovatif dan Guru Paling Lama Berkhidmat telah dianugerahkan kepada Muallimah Siti Patimah Mohd Noor dari Taiping yang telah mengajar sejak tahun 2000 disamping seramai 24 orang penerima Anugerah Guru Cemerlang dari kawasan masing-masing turut diberikan anugerah.
KEMASKINI TERUS KEPADA ANDA!
Jadi yang pertama mendapatkan kemaskini dari kami melalui emel!