Informasi Terkini

Berita Gilang-Gemilang Majlis Anugerah Prestasi Pasti Negeri Perak 2022 Oleh Pasti Negeri Perak / Feb 19, 2023

"Murid dirai, alumni diangkat, pengurusan dan guru dihargai."

Begitulah gambaran keseluruhan kemeriahan Majlis Anugerah Prestasi PASTI Negeri Perak 2022 kali ini bagi meraikan anak-anak PASTI yang mewakili 24 PASTI kawasan serta pelbagai anugerah sebagai menghargai kesungguhan PASTI-PASTI kawasan telah diadakan pagi ini di Dewan Mahligai Harmoni, Kampung Jasa, Ulu Kuang, Chemor.

Majlis telah disempurnakan perasmiannya oleh YB Ustaz Zulfadli Zainal selaku Ketua Sektor Pendidikan DPPN Perak merangkap Timbalan Ketua DPPN Perak serta ADUN Slim. Majlis turut diserikan dengan persembahan Ust Huri Alias.

Tahniah kepada PASTI Parit Buntar yang telah diangkat sebagai PASTI Kawasan Terbaik. Manakala Majlis Guru PASTI Bagan Serai pula telah dipilih sebagai Majlis Guru PASTI Kawasan Terbaik dan PASTI Al-Falah Kg. Jana Taiping pula disenaraikan sebagai PASTI Cawangan Terbaik.

Turut menarik perhatian adalah Anugerah Pencapaian Alumni PASTI Negeri Perak (Kategori Sekolah Rendah) yang diberikan kepada Muhammad Azim Amsyar bin Anuar, 11 tahun yang telah menjuarai Kejohanan NFDP Series Janda Baik Pahang 2022 sertai menyertai The Bangkok International Supercup 2022. Sementara itu bagi anugerah yang sama untuk kategori sekolah menengah pula menyaksikan huffaz 13 juzuk yang merupakan pemegang Sijil Pencapaian Emas Pengangkap bagi Jambori Pengangkap Persaudaraan Antarabangsa 2022 iaitu Muhammad Hafiz Haqiz bin Mohd Nasir, 15 tahun.

Bagi Anugerah Pengurus PASTI Cawangan Paling Lama Berkhidmat pula telah diberikan kepada susuk yang telah 32 tahun berjasa kepada PASTI Al-Islah Kg. Kuak Hulu dari PASTI Gerik sehingga kini iaitu Wan Abdullah bin Ismail yang kini telah berusia 67 tahun.

Anugerah 3K (Kebersihan, Keceriaan & Keselamatan) pula menyaksikan PASTI Al-Ikhwan Pasir Salak telah menggungguli kedudukan Johan dengan disusuli Naib Johan dari PASTI Al-Mujahideen Parit Buntar. Tempat Ketiga pula telah diraih oleh PASTI At-Tarmizi Bagan Serai.

Selain itu, turut disampaikan ialah penghargaan kepada PASTI Kawasan Kuala Kangsar yang menjadi tuan rumah Kejohanan Sukan Bola Sepak dan Bola Jaring PASTI Malaysia 2022 serta PASTI-PASTI Kawasan yang telah menghantar penyertaan mewakili PASTI Perak ke Kejohanan Sukan Bola Sepak dan Bola Jaring PASTI Malaysia 2022 serta Alam Ria PASTI Malaysia 2022.

Melengkapkan tirai majlis, Tokoh Murid PASTI Negeri Perak 2022 telah dinobatkan kepada adik Danial Qarizh bin Hellmizan dari PASTI Al-Falah Kampung Jana Taiping.

KEMASKINI TERUS KEPADA ANDA!

Jadi yang pertama mendapatkan kemaskini dari kami melalui emel!