Guru
Dengarlah dengan hatimu
Pesan yang datang dari hatiku
Kerna akhirnya masa itu
Seolah semakin dekat buatku
Guru
Allah sedang menguji kita
Dengan susah dan bahagia
Sebagai cubaan semata
Kerna akan kembalinya kita
Kepada Tuhan Maha Pencipta
Guru
Jadikanlah seumur hidupmu
Seperti Ramadhan
Supaya nanti matimu
Seperti Hari Kemenangan
Guru
Ingatlah..
Yang paling kaya bukanlah yang punya paling banyak harta
Tetapi ialah yang keinginnya paling sedikit untuk dunia
Guru
Biarlah sehebat mana kita
Berlembutlah dan senyumlah kepada dia
Kerana di situlah adanya bahagia
Buat anak-anak penawar duka
Guru
Doa yang terhebat untukmu ialah doa daripada ibumu
Maka janganlah berhenti berdoa kerana dirimu seolah ibu
Bagi ramainya anak didikmu
Guru
Kadang-kadang kita sibuk mencari bahagia
Tetapi kita sering lupa membuka Al-Quran di depan mata
Usah ditinggal walau semuka
Kerna di situlah punca bahagia
Guru
Semakin besar ujian
Semakin besar ganjaran
Sabarlah dengan penuh yakin
Allah akan hantar bantuan
Guru
Untuk setiap luka dan air mata
Cerita dan harapan
Yang tak kesampaian
Zahirkanlah dalam sujud pada Tuhan
Hana di situ kau akan temu jawapan
Guru
Bilamana rapatnya dirimu dengan Dia
Bahagia akan rapat ke jiwa
Hanya dengan itu dirimu dapat membahagia
Anak-anak tanpa dosa
Dan jua insan tercinta
Guru
Jika yang dikejar itu pujinya manusia
Percayalah kau akan kecewa dan putus asa
Jika redhanya Tuhan yang dicari
InshaAllah akan tenanglah hati
Guru
Jangan ditunggu bahagia untuk senyum
Namun tersenyumlah
InshaAllah, bahagia itu datang kepadamu
Guru
Jangan ditunggu kaya untuk bersedakah
Namun bersedekahlah,
InshaAllah, kamulah orang yang kaya di sana
Guru
Jangan ditunggu masa lapang untuk berjuang
Namun berjuanglah,
InshaAllah, Allah akan melapangkan masa buatmu
Guru
Kita tidak punya banyak masa
Untuk menunggu saat itu tiba
Biarlah kita menemui Maha Pencipta
Dalam redha penuh bahagia
Selamat Hari Guru 2019
Ikhlas dariada
Abu Dzar
Pengarah Jabatan PASTI Negeri Perak
Ipoh, 23 Mei : Memahami penderitaan dan kesusahan yang terpaksa dilalui oleh segelintir masyarakat dengan dugaan kesihatan khususnya warga PASTI atau ahli keluarga mereka, PASTI Perak telah mengambil inisatif menggerakan Kembara Ramadhan PASTI Perak ke seluruh negeri Perak menyantuni dan menyampaikan sumbangan kepada mereka. Sumbangan yang disampaikan sepanjang Ramadhan ini melibatkan 31 orang penerima dengan peruntukan keseluruhan sebanyak RM8300. Agihan sumbangan ini yang diharap dapat meringankan beban yang ditanggung mereka serta menzahirkan kebersamaan dan sokongan kepada mereka untuk kembali sihat.
Kuala Kangsar, 13 April 2019 : Pesta Sukan PASTI Perak 2019 yang bertempat di Padang Kuarters Jerlun, Kuala Kangsar telah menyaksikan Taiping dan Parit Buntar muncul juara bagi acara masing-masing. Taiping muncul Johan setelah berjaya menyingkirkan Tambun selaku Naib Johan dalam pertembungan yang sengit. Sementara itu tempat ketiga yang diraih Lumut turut menerima tentangan sengit sehingga penentuan dilakukan secara penalti setelah terikat dengan Bukit Gantang.
Sementara itu, Parit Buntar telah dinobatkan Johan setelah berjaya menundukkan Naib Johan, Tambun. Tempat ketiga pula telah disandang oleh Taiping setelah berjaya menewaskan Lumut.
Pesta sukan ini telah menghimpunkan 6 pasukan bagi setiap acara yang merupakan Johan dan Naib Johan setiap acara di peringkat zon baru-baru ini.
Majlis perasmian telah disempurnakan oleh YB Ust Akmal Kamaruddin yang merupakan Ketua Pemuda PAS Perak merangkap ADUN Selama.
Semalam pada 6 April 2019, Pesta Sukan PASTI Perak secara serentak bagi 3 Zon telah melabuhkan tirai persaingan. Johan dan Naib Johan setiap acara bagi setiap zon bakal berentap di peringkat negeri yang dijadualkan sabtu ini di Kuala Kangsar untuk menobatkan juara bagi acara yang dipertandingan iaitu Bola Sepak Mini dan Bola Jaring. Perasmian dijangka akan dirasmikan oleh YB Ustaz Akmal bin Kamaruddin (Ketua Dewan Pemuda PAS Perak). Ikuti rangkuman ringkas ketiga-tiga zon tersebut.
Zon 1 yang diadakan di Padang Kolej Multimedia Taiping dengan dirasmikan oleh Pengarah PASTI Perak sendiri iaitu Mohd Azahari bin Yahaya menyaksikan tuan rumah iaitu Taiping telah mengondol gelaran juara bagi kedua-dua acara. Turut mengiringi Taiping ke edisi negeri ialah Bukit Gantang selaku Naib Johan Bola Sepak Mini dan Parit Buntar yang menyandang Naib Johan Bola Jaring. Sementara itu Lenggong sekadar berpuas hati ditempat ketiga bagi kedua-dua acara setelah menewaskan Gerik dalam Bola Sepak Mini dan Bagan Serai bagi Bola Jaring.
Dalam pada itu, Zon 2 yang diadakan di Extreme Park Tambun telah dirasmikan oleh Ustaz Hafez Sabri (Timbalan Ketua Dewan Pemuda PAS Perak) menyaksikan Tambun dan Kuala Kangsar mengesahkan kelayakan ke negeri apabila masing-masing berjaya meraih kedudukan Johan dan Naib Johan bagi kedua-dua acara. Kuala Kangsar nyata jaguh dalam Bola Sepak Mini selepas menewaskan Tambun sebagai Naib Johan. Manakala Tambun pula telah menundukkan Kuala Kangsar dalam merebut kedudukan Johan dan Naib Johan Bola Jaring. Tanjung Malim nyata senasib dengan Lenggong apabila sekadar berpuas hati dengan tempat ketiga bagi kedua-dua acara. Mengekori di belakang bagi kedudukan keempat ialah Gopeng bagi acara Bola Sepak Mini manakala Kampar bagi acara Bola Jaring.
Bertempat di Padang Desa Seri Iskandar pula, Lumut yang berentap di zon 3 mengulangi skrip sama Taiping apabila turut mengungguli kedua-dua acara sekaligus layak ke negeri selepas mengatasi Naib Johan Bola Sepak Mini iaitu Batu Gajah dan Naib Johan Bola Jaring iaitu Teluk Intan. Pasir Salak pula terpaksa berpuas hati membawa pulang tempat ketiga Bola Sepak Mini dan keempat Bola Jaring. Sementara Parit turut menempatkan nama selaku tempat ketiga Bola Jaring. Perasmian zon 3 ini telah disempurnakan oleh Ustaz M. Zahid b. Abu Bakar (Naib Ketua Dewan Pemuda PAS Perak).
Ipoh, 26 Jan : 7 buah unit PASTI daif di Perak telah mendapat perhatian PASTI Malaysia apabila menerima sumbangan wang tunai RM1000 setiap unit. Sumbangan telah disampaikan oleh Sdr Maznan Abd Razak selaku Bendahari PASTI Perak (berbaju kemeja) sempena Bengkel Pengurusan PASTI Perak 2019 pada 26 Jan 2019 di Meru. Antara PASTI yang menerima sumbangan ini ialah PASTI Imtinan, PASTI Nur Iman Sayong, PASTI Mawaridul Hikmah Ketior, PASTI As-Syifa, PASTI Al-Ansar, PASTI Al-Ehsan dan PASTI Nurul Jihad.
Sumbangan ini secara keseluruhannya telah mencakupi 14 unit PASTI yang melibatkan 6 buah negeri dengan perbelanjaan keseluruhannya menelan kos RM17,480.00.
KEMASKINI TERUS KEPADA ANDA!
Jadi yang pertama mendapatkan kemaskini dari kami melalui emel!